LABUAN : Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan pembaharuan dua Memorandum Persefahaman (MoU) diadakan di Kampus Antarabangsa UMS (UMSKAL) di sini semalam.
MoU ini bersama Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) dan Neurogine Sdn Bhd dirasmikan Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.
LFSA diwakili Timbalan Ketua Pengarahnya Jaffree Ismail manakala Neurogine Sdn Bhd, Naib Presiden Kanan Chooi Yew Tzen.
Sementara itu dalam ucapannya, Kasim berkata, UMS menekankan kepentingan kerjasama ini memajukan misi UMS untuk memperkukuhkan kecemerlangan akademik serta kerjasama industri.
“Majlis hari ini bukan sahaja merupakan pembaharuan perjanjian formal tetapi merupakan penegasan semula komitmen bersama.
“Ini sekali gus membentuk masa depan yang lebih baik untuk pelajar, industri dan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, kerjasama LFSA ini mencerminkan fokus bersama untuk memajukan kewangan digital dan Islam.
“Secara tidak langsung menyediakan pelajar serta profesional industri dengan kepakaran terkini,” kata Kasim.
