KOTA KINABALU : Penawaran program Diploma Lepasan Ijazah-Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie(DIJAP) secara pesisir di kampus Univesiti Malaysia Sabah(UMS) mampu melahirka. tenaga profesional sekali gus berkelayakan dalam amalan kehakiman dan guaman syarie di negara ini.
Program ditawarkan melalui Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mula dilaksanakan bermula Oktober tahun ini.
Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, usaha ini merupakan langkah relevan berdasarkan keperluan semasa yang menjadi fardu kifayah dalam masyarakat Islam yang perlu ditangani bersama.
“Melahirkan pakar yang mahir dalam bidang ini dilihat memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam membentuk tenaga profesional dalam sistem kehakiman bagi tujuan keadilan secara menyeluruh sesuai dengan prinsip-prinsip syariat Islam.
“Ini juga dapat menggalakkan pemahaman yang mendalam tentang prinsip-prinsip syariah, selain menyokong pembangunan masyarakat sebagai ejen perubahan berteraskan akidah, syariah dan akhlak,” katanya.
Sementara itu, Norzrul Thani dalam ucapan perasmiannya memaklumkan, memiliki DIJAP merupakan salah satu syarat utama bagi melayakkan graduan undang-undang dan syariah beramal dalam bidang kehakiman dan guaman syarietermasuk di negeri Sabah.
“Melihat kepada keperluan ini, FSU USIM mengambil inisiatif bersama dengan Fakulti Pengajian Islam (FIS) UMS bagi membuka ruang dan peluang kepada pelajar di Zon Sabah dan Sarawak untuk mengikuti program ini.
“Sebagai makluman, DIJAP juga merupakan program lepasan ijazah yang ulung di sini kerana belum ada program seumpama ini yang ditawarkan di Sabah.
“Program ini dirangka untuk memberikan penekanan kepada pemahaman undang-undang Islam, prosedur mahkamah syariah.
“Selain itu perundangan keluarga Islam, perundangan jenayah, tatacara mal dan tatacara jenayah, pengurusan firma, etika guaman dan aspek-aspek lain yang berkaitan dengan sistem kehakiman syariah dan kepeguaman syarie,” katanya.
Menurutnya, penawaran program DIJAP tersebut bakal memberikan nilai tambah kepada prospek kerjaya pelajar dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan Islam serta amalan guaman syariah.
“Program ini bukan sahaja memenuhi keperluan akademik yang ditetapkan, tetapi juga memberi pendedahan yang luas kepada fahaman dan aplikasi enakmen-enakmen Syariah Negeri Sabah dan arahan-amalan Mahkamah Syariah Negeri Sabah,” jelas Norzrul.