UMS akhiri Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia 2022

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan program Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia 2022 yang merupakan jelajah penutup bersempena sambutan Hari Malaysia bertempat di Galeri Azman Hashim UMS (GAH-UMS)baru baru ini.

Program ini menampilkan pemuisi dan penyanyi lagu puisi yang didatangkan dari Semenanjung Malaysia dan negeri Sabah.

Antara yang mendeklamasikan puisi ialah Presiden InstitutKepimpinan Kamarazaman (IKK), Kamaruzzaman Yaakobdengan puisinya ‘Numbak dan Warga Tanpa Kartunya, Prof.Madya Ts Dr. Jessica Ong Hai Liaw (Wajah-wajah Sabah), Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman (Pohon Malaysia di Taman Merdeka), Aya Rohaiyah (Mekar Sejahtera Halaman Tercinta) dan Razali Mohd Yussof (Tanah dan Langit Tanah Air).

Staf UMS yang turut mengalunkan puisi ialah Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP), Dr. Jurry Foo (Simpan Laungan itu), Timbalan Pendaftar Kanan FakultiPsikologi dan Pendidikan (FPP), Masri Judah (Setiaku Menunjangi Harapanmu, Negaraku), Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Noorisah Taljid (Monolog Merdeka Bukan Sekadar Nama) dan penampilan khas pelajar Orang Kurang Upaya UMS, Malumis Maratis (Sunyi Sepi Tiada Suara).

Sementara itu, penonton turut disajikan dengan lagu-lagu puisi yang didendangkan oleh Ahmad Ramli (Sajak untuk Pun Mariam dan Maya), Norimah Muhammad atau dikenali sebagai Abot (Dalam Kelas Sejarah dan Lapangan Merdeka) serta Pengarah GAH-UMS, Dr. Mohammad Puad Bebit (Anak Bangsa Merdekadan Bujang Trang Tang Tang) yang terkenal menerusi sajak jenaka (Sajen) serta persembahan hiburan daripada pelajar seni muzik, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS.

Menurut Kamarazaman, acara pembacaan puisi ini adalah sebahagiannya untuk memartabatkan bahasa Melayu.

“Puisi adalah satu bentuk bahasa yang sangat tinggi dengan bahasa puitisnya yang mampu menceritakan sesuatu isu atau soalan yang dapat diringkaskan di dalam puisi ataupun sajak.

Program ini juga untuk mewarnai kemerdekaan yang mana Keluarga Malaysia adalah satu falsafah yang telah dilontarkan oleh Perdana Menteri. Beliau menyatakan jangan menggali perbezaan tetapi mencungkil kesamaan yang membawa makna rakyat Malaysia dapat menjalin hubungan tanpa ada garis sempadan.

“Jelajah puisi ini adalah untuk melanjutkan falsafah yang telah dilontarkan oleh Perdana Menteri dan kami anyamkan idea itu melalui Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia,” katanya ketika ditemu bual media.

Beliau yang terkenal dengan panggilan Bung Zaman berkata, bagi penganjuran fasa dua dan fasa tiga yang sedang dirancang, ia akan melibatkan sebanyak 14 buah universiti awam yang mewakili setiap negeri di Malaysia.

“Kami akan menyediakan lima penyair dan dua penyanyi puisi bagi setiap acara ini dan mempunyai harapan yang besar kepada pelajar agar dapat menghasilkan puisi,” ujarnya.

“Program ini perlu dijadikan acara tahunan semasa menjelangataupun menyambut kemerdekaan negara kerana puisi merangkumi seluruh warganegara.

Beliau menambah, bentuk acara akan diubah untuk fasa kedua dan ketiga dengan penglibatan daripada wakil atau penggiat media, penyertaan warga emas dan anak-anak istimewa bagi memeriahkan lagi acara serta melambangkan Keluarga Malaysia yang sejati.

Beliau juga merancang untuk mengumpul puisi-puisi ciptaan sendiri hasil karya peserta yang dideklamasikan sepanjang jelajah program ini dan akan dijadikan buku antologi puisi.

Untuk rekod, Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia 2022 dianjurkan Institut Kepimpinan Kamarazaman, Persatuan Penyair Malaysia dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan GAH-UMS, Dewan Bahasa dan Pustaka, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaysia Perlis.