BEAUFORT : Pendidikan merupakan antara agenda perjuangan UMNO yang tidak pernah padam malah ia dimanfaatkan sebagai peluang terbaik untuk keluar dari garis kemiskinan dan membentuk masa depan yang lebih baik.
Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, memartabatkan pendidikan dikalangan anak-anak bangsa adalah salah satu daripada agenda perjuangan UMNO yang diperjuangkan sejak dahulu lagi.b
Katanya, pendidikan yang berkualiti akan mampu mengubah masa hadapan dengan pelbagai peluang akan dapat diteroka.
“Kesukaran hidup yang dilalui pelajar terutama dari kawasan pedalaman memberikan satu kekuatan dan menjadi pendorong kepada semua masyarakat.
“Ini demi menjadikan matlamat mengubah seluruh masa depan kerana pendidikan yang ada akan menjamin peluang pekerjaan yang lebih baik lantas dapat memberikan kehidupan yang lebih terjamin di masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa bersama warga Kolej Komuniti Beaufort yang diadakan semalam.
Awang Aslee merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat Pusat Giat MARA Parlimen Beaufort, menekankan agar pentingnya anak-anak muda terus tekun menimba ilmu dan memanfaatkan peluang pendidikan yang ada.
“Kerajaan melalui pelbagai agensinya seperti Yayasan Pelajaran MARA telah mengambil peranan dan tanggungjawab untuk membantu golongan pelajar serta memberikan pelbagai sokongan bagi memastikan anak bangsa mempunyai peluang pendidikan terbaik.
“Ini juga adalah inisiatif perjuangan yang sentiasa diangkat oleh UMNO kerana sedar bahawa pendidikan terbaik akan memberi peluang dan ruang yang lebih besar dalam kehidupan anak-anak selaku pewaris generasi masa hadapan,” jelas Awang Aslee.
Hadir sama Pengarah Kolej Komuniti Beaufort, Julkifli Awang Besar, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Beaufort, Juriffah Safflie.