TAWAU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai Sarifuddin Hata mendesak kerajaan Sabah jangan membenarkan kenaikkan harga tiket bas jarak jauh menjelang dan selepas Hariraya Aidilfitri.
Beliau menyatakan bahawa penumpang utama bas jarak jauh kebiasaannya adalah golongan pendapatan sederhana dan rendah, di mana ramai mungkin terjejas dengan kenaikan harga, terutamanya penduduk dari bandar-bandar di pantai timur seperti Tawau, Kunak, Semporna, dan Lahad Datu.
Katanya ramai orang muda mencari rezeki di Kota Kinabalu, dan jika mereka ingin pulang ke kampung halaman semasa Aidilfitri, mereka akan menghadapi tekanan kos yang besar.
“Kerajaan sepatutnya mengambil langkah-langkah untuk melindungi kepentingan golongan sederhana dan rendah dan bukan menambahkan beban ekonomi rakyat.
“Kerajaan perlu mengambil kira semula keputusan ini dan memastikan semua orang dapat menikmati keseronokan dan perhimpunan semasa Aidilfitri dengan saksama,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa keputusan kerajaan sepatutnya mencerminkan perhatian dan penghormatan terhadap kepentingan rakyat, dan bukan hanya memikirkan keuntungan ekonomi.