UMNO sudah bercerai dengan Bersatu – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Umno tidak mungkin kembali menerima Bersatu untuk bekerjasama pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agungnya Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, perbuatan Bersatu yang mengambil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Umno apabila mereka “lompat” membuatkan kedua-dua parti itu sukar bekerjasama.

“Umno dan Bersatu Bersatu sudah ‘bercerai’ dan tidak mungkin untuk Umno terima mereka kembali untuk atas alasan apa pun.”

“Kita sudah tiada kerjasama dengan Bersatu dan semua tahu perkara itu malah telah disebut dalam Perhimpunan Agung Umno tahun lalu. Tiada apa-apa pertukaran dalam hal itu.

“Kita sudah ‘bercerai’ sebab ada banyak punca termasuk penubuhan Bersatu itu juga yang menewaskan kami dalam PRU14. Pada masa itu, macam-macam mereka kata pasal kami,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Ahmad mendakwa, Bersatu turut memberikan imbuhan kepada individu daripada Umno yang “lompat” contohnya ada yang diberikan jawatan.

“Dalam 31 kerusi Bersatu di Parlimen, enam adalah kerusi asal, 10 daripada kumpulan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali iaitu daripada PKR dan 15 daripada Umno,” katanya.

Menurut Ahmad, penubuhan Bersatu seolah-olah mahu menggantikan Umno kerana banyak ciri-ciri Umno yang diambil pakai oleh Bersatu.

“Mereka itu mahu ambil alih Umno kerana sebahagian besar mereka adalah ahli Umno. Nama dan warna kami juga mereka ambil. ‘Bersatu’ itu adalah ‘tagline’ Umno iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat,” katanya.

Ahmad juga tidak nampak parti pembangkang lain bersedia untuk bekerjasama dengan Bersatu kerana mempunyai tujuan berbeza.