KOTA KINABALU: UMNO Sabah terbuka menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ini termasuk Parti Warisan (Warisan) serta Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi kemungkinan berdepan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, perkara itu perlu dibincang serta diperhalusi di peringkat Biro Politik sebelum keputusan dibuat.
“Ketika ini tumpuan utama UMNO sekarang ialah untuk memperkukuhkan parti bagi memastikan parti ini kembali menjadi parti teras kerajaan di negeri ini,” katanya.
Bung Moktar berkata, dalam persediaan menghadapi PRN, UMNO Sabah akan memfokuskan usaha untuk meningkatkan keberkesanan jentera komunikasi strategik dan penerangan, khususnya media baharu.
Sementara itu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah telah dipecat daripada UMNO Bung Moktar berkata, tiga ADUN berkenaan ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).
“Ada tiga dikenakan tindakan pecat, Datuk James Ratib sudah diambil tindakan dipecat, Mohd Arsad dan Jasnih juga dipecat. Shahelmey digantung,” katanya.
Ditanya mengenai status ADUN Tanjong Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy pula, Bung memaklumkan, tiada tindakan dikenakan terhadap ADUN tersebut.