LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan dipercayai pengedar dadah maut ditembak ketika cuba melanggar dua anggota polis menjalankan tugas Op Tapis, di Jalan Plum Oil Industrial Cluster (POIC) Pgase 2, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, suspek didapati bertindak agresif ketika apabila ditahan kemudian mengundurkan keretanya sekali gus melanggar salah seorang anggota polis yang cuba menghalangnya.
Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu suspek cuba melakukan pusingan U kemudiannya memecut keretanya melawan arus, sebelum melanggar seorang lagi anggota yang bertugas.
“Anggota polis tersebut sempat melepaskan satu das tembakan ke arah kereta suspek bagi tujuan untuk mempertahankan diri sebelum dilanggar suspek.
“Suspek cuba melarikan diri daripada pihak polis kemudian dilihat terbabas pada jarak 400 meter dari lokasi kejadian.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek terbaring di bahagian tempat duduk penumpang sebelah kiri kereta terbabit dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Rohan Shah berkata, pemeriksaan awal polis menemukan sejenis dadah disyaki syabu seberat 7.45 gram bernilai RM1,490 dan dua bilah parang jenis samurai.
“Suspek dipercayai penganggur berumur 28 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dengan mempunyai lima kesalahan lampau membabitkan jenayah narkotik dan komersial.
“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Kseksaan atas kesalahan cuba bunuh dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan pengedaran dadah jenis syabu,” katanya.