UMNO Pusat kekal pendirian bersama UMNO Sabah diketuai Bung Moktar – Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal mempertahankan tindakan Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, UMNO pusat akan mempertahankan tindakan Bung Moktar sekali gus sentiasa menyokong Umno Sabah.

“Malah apa yang berlaku mutakhir ini di Sabah, saya ingin membuat penegasan bahawa Umno pusat akan tetap bersama dengan Umno Sabah,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Zahid berkata, Umno kekal berpendirian Sabah dan Sarawak merupakan rakan politik strategik dalam pembentukan kerajaan pusat hari ini mahupun pada masa depan.

“Sehubungan itu, Perjanjian Malaysia 1963 atau lebih dikenali sebagai MA63, perlu dilaksanakan segera. Walaupun ada beberapa perkara pokok yang telah dilaksanakan, masih banyak perkara yang menjadi asas kepada MA63 perlu diterjemah pelaksanaannya,” katanya.

Katanya, pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur, kedudukan Sabah dan Sarawak akan menjadi lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baharu.

“Sejak 1963, Sabah dan Sarawak telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dan kini adalah masa terbaik untuk kita sama-sama memajukan Sabah dan Sarawak, seiring dengan perkembangan di keseluruhan kepulauan Borneo termasuk Kalimantan, Indonesia,” katanya.

Terdahulu, berlaku kemelut politik di Sabah selepas Bung mengumumkan penarikan sokongan ADUN BN terhadap Hajiji yang juga ketua menteri.

Bagaimanapun, lima ADUN Umno Sabah enggan menuruti keputusan Bung, sekali gus menjurus kepada rombakan Jemaah Menteri Sabah dengan ADUN Lamag itu digugurkan sebagai timbalan ketua menteri