UMNO kukuh jika slogan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ diamalkan – Bung Moktar Radin

SANDAKAN : Slogan UMNO Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat sebenarnya adalah teras perjuangan UMNO yang perlu dihayati sekali gus diamalkan oleh setiap anggota parti.

Ketua Umno Bahagian Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jika slogan ini dihayati dan menjadi amalan ahli parti kekuatan parti tidak akan mampu diganggu gugat.

Bung Moktar Radin

Katanya, perjuangan dalam parti Umno memerlukan pengorbanan  keihlasan dan satu ikatan, namun dalam sebuah organisasi yang besar seperti Umno tidak semua ahli dapat menghayati dan mengamalkanya.

‘Kita menyanyikan lagu Umno bersatu kita bersatu, bersama kita bersama, namun ada ketikanya  kita tidak bersatu tidak bersama, kerja kita lain-lain malah ada pula  mengerjakan sesama sendiri.

“Umno sepatutnya kuat namun bila berlaku begini Umno akan kalah dari dalam” katanya ketika berucap di mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kinabatangan di Dewan SMJK Chung Hua di sini semalam.

Bung Moktar merupakan Ketua Umno Sabah berkata, jika pemimpin termasuk ahli parti bersatu dan bersetia dalam memperjuangkan objektif serta matlamat parti selain berkhidmat dengan penuh dedikasi Umno tidak mampu digangu gugat parti lain.

“Malangnya budaya adu domba,fitnah, gunting dalam lipatan masih menjadi amalan sebilangan pemimpin dan ahli parti menjadikan parti kita lemah sehingga Umno Sabah menjadi pembangkang terus  dihina dan dicerca.

“Hal ini terjadi sepertimana dilakukan beberapa pemimpin UMNO di negeri ini yang telah dicalonkan oleh parti dan memenangi pilihan raya tetapi kini telah tidak setia dan meninggalkan UMNO begitu sahaja kerana lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan parti,” jelas Bung Moktar.

Menurutnya, lebih merungsingkan serta menyakitkan hati, apabila melihat sikap sebilangan pemimpin UMNO yang bersama hanya ketika parti dalam keadaan gemilang tetapi menanggalkan slogan Bersatu sewaktu parti hampir lumpuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Pemimpin ini walaupun sedar dan memahami betapa pentingnya semangat berpasukan dan berdisiplin dalam parti serta memahami prinsip tanggungjawab bersama dalam keputusan bersama.

“Namun memilih untuk bersikap seperti ‘bisu’ dan mempamerkan sikap memperlekehkan kewibawaan saf kepimpinan UMNO,” jelas Bung Moktar.

Menurutnya, ketika ada usaha pihak tertentu mahu mentalkinkan Umno di Sabah dan ditakdirkan saya diberikan amanah oleh Presiden Umno mengetuai Umno Sabah, bersama rakan-rakan masih setia.

“Mereka memiliki prinsip perjuangan untuk terus berusaha memulihkan imej Umno sehingga kini masih mampu bertahan dan memberikan sumbangan terbesar dalam pembentukan kerajaan selepas PRN Ke-16 walaupun sumbangan tersebut dinafikan.

“Kita mengajak agar ahli Umno supaya menjadikan slogan Bersatu Bersetia dan Berkhidmat sebagai satu tuntutan yang perlu menjadi amalan pemimpin dan ahli Umno di negeri ini.

“Ini bagi mempastikan kekuatan Umno terus kukuh untuk mencapai kemenangan dalam PRN Ke 17 akan datang.

“Kita perlu bangkit bersama membetulkan keadaan hari ini, kita melihat kegagalan kerajaan yang sedia ada mentadbir dan menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat Sabah dalam pelbagai aspek terutamanya keperluan prasarana pembangunan asas dan kemiskinan,” katanya

Menyentuh mengenai status UMNO kini sebagai pembangkang di Sabah Bung Moktar berkata, walaupun perit untuk dihadapi tetapi ia sebenarnya satu hikmah, menjadi landasan terbaik bagi pucuk pimpinan parti untuk mengkaji dan merancang semula objektif perjuangan sama ada yang tersurat mahupun tersirat selari dengan tuntutan politik semasa.