Tubuh jawatankuasa khas tangani isu dan aduan rakyat kepada Agong semasa Kembara Kenali Borneo – Vivian Wong

SANDAKAN : Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee mengemukakan soalan sekiranya kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menangani isu dan aduan rakyat Sabah kepada Yang Di-Pertuan Agong semasa ‘Kembara Kenali Borneo’ baru-baru ini.

Vivian menyatakan hal itu ketika pertanyaan lisan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas 2023, hari ini.

Dalam jawapan beliau kepada Vivian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kerajaan sedang meneliti semua isu dan aduan yang telah dikemukakan oleh rakyat Sabah dan Sarawak kepada Yang Di-Pertuan Agong semasa misi jelajah selama 11 hari bermula 3 hingga 13 September 2023 dari Sabah ke Sarawak.

Katanya, berdasarkan semakan, terdapat 111 perkara yang telah dibangkitkan dalam kompilasi dokumen-dokumen tersebut iaitu 74 dari Sabah dan 37 dari Sarawak.

Jelasnya, daripada keseluruhan perkara, 55 adalah aduan, 43 bersifat permohonan dan 13 perkara lagi melibatkan ucapan penghargaan umum.

Tambahnya, antara perkara yang dibangkitkan oleh rakyat Sabah dan Sarawak kepada Yang DiPertuan Agong adalah mengenai bekalan air, bekalan elektrik, kesihatan, pendidikan, jalan raya, tanah adat, kebajikan, sosio ekonomi dan keselamatan yang memerlukan penelitian atau tindakan di peringkat kementerian, jabatan atau agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Ujarnya, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS, JPM) juga sedang menyelaras perkara ini bersama semua pihak yang terlibat.

“Tindakan pemantauan akan terus dilaksanakan oleh bahagian ini bagi memastikan tindakan sewajarnya telah dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat,” jelasnya.