“Terima kasih peruntukkan ini, tetapi janganlah hanya melepaskan batuk ditangga, cantik pada peruntukkan tetapi tidak pada implementasi projek,” Azhar Matusin

KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin ingin bertanya status peruntukkan RM679.85 juta untuk mengurus serta menangani masalah kekurangan air manakala RM156.77 juta diperuntukkan bagi penyelesaian jangka pendek dan serta merta bagi masalah air di negeri ini.

Menurutnya, manakala RM258.05 juta bagi penyelesaian secara jangka sederhana dan jangka panjang bagi masalah kekurangan air ini.

“Terima kasih atas peruntukkan ini, tetapi janganlah ianya hanya seperti melepaskan batuk ditangga, cantik pada peruntukkan tetapi tidak pada implementasi projek.

“Kita harap tahun 2024, isu Air akan dapat diselesaikan dengan tuntas. Jabatan Kerja Raya yang diperuntukkan sebanyak RM1.72 billion dapat mengambil langkah proaktif dalam memberikan fokus kepada implementasi projek asas rakyat,” katanya dalam ucapan bahas sesi DUN Sabah Belanjawan 2024 di sini hari ini.

Azhar berkata, jumlah penggangguran di Sabah dicatatkan antara yang tertinggi di Malaysia dengan jumlah pengangguran seramai 169,800 orang atau 29 peratus dari jumlah pengangguran di Malaysia.

“Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif pada Mei 2023, menjelaskan terdapat penurunan 0.4 peratus pengangguran di Sabah dari 176,700 kepada 169,800 orang.

“Jumlah yang sama seperti diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia. Saya ingin merujuk kepada Belanjawan 2023 dengan tema yang gah tersebut, Apa sudah jadi? Sabah masih menjuarai Penggangguran di Malaysia dan Kerajaan hanya dapat menurunkan 0.4% sahaja iaitu hanya seramai 6,900 orang yang mendapat pekerjaan,” jelas Azhar.

Menurutnya, tidak hairan jika terdapat ramai anak Sabah terus keluar dari negeri ini untuk mencari sesuap nasi di perantauan termasuk di semenanjung Malayasia.

“Baru-baru ini juga kita dikejutkan dengan anak Sabah yang bekerja sebagai penghantar makanan disemenanjung yang telah dipukul hanya kerana bahasa kita yang berbeza.

“Kisah viral ini menjadi iktibar kepada semua sebagai pemimpin di Sabah. Saya berharap Pemimpin Sabah dapat mengambil langkah proaktif dalam memastikan anak – anak Sabah tidak perlu lagi ke luar negeri untuk mencari rezeki tetapi melipatgandakan ruang pekerjaan samada dari aspek pekerjaan GIG atau usahawan,” tambah Azhar.

Azhar berkata, jika Belanjawan 2023 dengan nilai sebanyak RM5.138 Bilion hanya membuka ruang kepada lebih kurang 6,900 rakyat Sabah, berapa pula sasaran ruang pekerjaan untuk rakyat Sabah dengan nilai Belanjawan RM5.701 Billion?

“Adakah juga dibawah 1 peratus seperti tahun ini? Adakah Kerajaan Negeri menyediakan sasaran bagi mengurangkan pengangguran di Sabah? Berapakah jumlah sasaran kerajaan Sabah dalam mengurangkan isu pengangguran di Sabah pada tahun 2024 akan datang,” ujar Azhar.