KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah seharusnya memfokuskan dan menyediakan peruntukan yang besar kepada majlis perbandaran terutamanya Majlis Perbandaran Sandakan ( MPS ).
Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik Datuk Suhaimi Nasir berkata KKTP telah meningkat sebanyak RM6 juta dalam bajet 2024 iaitu RM210.03 juta berbanding tahun 2023, RM204.03 juta.
Katanya di Sabah, hanya terdapat dua Majlis Perbandaran dan selebihnya Majlis Daerah.
“MPS dilihat tidak mempunyai kemampuan untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di Sandakan. Perkhidmatan membersihkan sampah, parit, rumput, pembentungan, lampu jalan dan sebagainya.
“Begitu juga jalan raya di taman-taman perumahan yang tidak diturap selepas lebih hampir 15 tahun. Saya mengambil contoh, di taman perumahan saya, di Taman Sejati Ujana Batu 7.
“Sudah lebih 15 tahun, jalan raya taman perumahan itu tidak di turap, walaupun telah mengalami kerosakan, tidak rata dimana batu kelikir telah terkeluar. Begitu juga Taman Hing Wah Bandar Batu 8 Jalan Labuk yang tidak diturap lebih 20 tahun,” katanya ketika membahas Belanjawan 2024 Negeri Sabah di Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Suhaimi berkata baru-baru ini, rakyat Sandakan rasa tidak berpuas hati diatas tindakan MPS yang mengumumkan kenaikan kadar bayaran cukai pintu pada tahun 2024.
Katanya dalam keadaan ekonomi rakyat yang tenat, kos sara hidup yang meningkat dan beliau menyokong kenaikan kadar cukai berkenaan, tetapi sebelum itu, MPS tingkatkan dulu mutu perkhidmatan kepada rakyat Sandakan.
“Namun, saya mengambil contoh ketirisan yang berlaku disebabkan sistem “diliveri” pengurusan yang tidak cekap. Pihak MPS gagal dalam dilihat gagal dalam mengutip cukai termasuk cukai pintu, cukai perniagaan, cukai ses tanah dan sebagainya.
“Saya dimaklumkan, setakat bulan oktober 2023, jumlah hutang cukai yang masih tertungguk di MPS, sebanyak RM40,36 juta atau 89.75 peratus . Hanya RM4,13 juta atau 10.25 peratus cukai berjaya dikutip.
“Perkhidmatan tidak memuaskan, cukai pun masih banyak belum dikutip, tiba-tiba mahu menaikkan cukai pintu. Macam mana Sandakan mahu menjadi Bandaraya… sekiranya pihak berkuasa tempatan tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah pengurusan dan pentadbiran,” katanya.
Suhaimi berkata MPS juga dilihat gagal dalam menguruskan projek-projek yang berimpak tinggi kepada rakyat.
Katanya sebagai contoh, Projek Retukulasi Air di PPR Sungai Manila yang telah diluluskan pada tahun 2018, masih belum dilaksanakan sehingga hari ini.
“Saya difahamkam terdapat masalah teknikal menyebabkan ianya tergendala. Tetapi perkara ini diangkat semula, dibincang, dimesyuaratkan dan telah diluluskan dalam mesyuarat penuh Ahli-Ahli majlis pada tahun 2022.
“Akibat perlaksanaan pengurusan dan tender, dicampuri oleh pihak tertentu, telah menyebabkan 3,451 orang yang tinggal di kawasan PPR Sungai Manila terpaksa menanggung akibat. Walaupun Seksyen 37 telah diluluskan.
“Saya masih ingat, Ketua Menteri pada masa itu (Hajiji), memegang jawatan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan yang lebih menarik lagi, YB Menteri Kewangan hari ini , adalah Menteri KKPT pada tahun 2022. Saya mencadangkan supaya Projek Retukulasi Air di PPR Sungai Manila ini dapat dilaksanakan tahun 2024,” kata Suhaimi.