KOTA KINABALU: Polis menahan empat individu termasuk seorang warga emas bagi membantu siasatan kes bunuh susulan penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di kawasan pembuangan sampah Pekan Indah Permai, Menggatal, 12 Februari lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata suspek utama lelaki tempatan berusia 71 tahun ditahan di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II pada hari sama kejadian.
“Pada malam itu, seorang lagi lelaki tempatan berumur 19 tahun turut ditahan di Sepanggar.
“Pada 15 Februari, dua wanita tempatan masing-masing berusia 29 dan 21 tahun ditahan di Sepanggar serta Inanam bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua wanita berkenaan adalah anak kepada suspek utama dan ditahan bagi membantu siasatan berhubung peranan serta pengetahuan mereka mengenai kejadian itu.
Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes termasuk telefon bimbit, pakaian, sarung tangan, sebilah parang kira-kira 27 inci serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” jelasnya.
