Tragedi bot karam di Sandakan, mayat kanak-kanak ditemui

SANDAKAN: Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki terbalik semalam berjaya ditemui hari ini ketika Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

Pengarah Zon Maritim Sandakan Kapt Maritim Zainudin Mohd Zuki berkat, mayat mangsa yang dikenali sebagai Romy Azlan, ditemui oleh Bot Ronda Kilat 8 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di kedudukan 0.4 batu nautika Timur Laut Kampung Tanjung Batu lebih kurang pukul 11 pagi tadi .

Dalam kejadian semalam, bot berkenaan dipercayai bertolak dari jeti Pulau Timbang menuju Ke Kampung Mumiang dengan membawa enam orang penumpang termasuk dua orang kanak-kanak.

Bot tersebut bagaimanapun dipercayai terlanggar satu objek terapung menyebabkan hilang kawalan lalu terbalik. Op CARILAMAT kemudiannya diaktifkan oleh Malaysia Rescue Sub-Center (MRSC) Kota Kinabalu pada pukul 4 petang semalam dan disambung semula pada jam 7 pagi tadi.

Turut membantu dalam operasi ini pelbagai agensi terdiri daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan nelayan tempatan dengan keluasan 11 batu nautika persegi.

Zainudin berkata berikutan penemuan mayat mangsa, Op CARILAMAT ini ditamatkan pada pukul 11.45 pagi.

Dalam pada itu, katanya, pihak Maritim Malaysia menasihatkan kepada pengusaha dan pemilik bot penumpang supaya mengutamakan penggunaan jaket keselamatan setiap kali melakukan aktiviti di laut.