TONGOD: Sambutan Pesta Kaamatan perlu diberi nafas baharu berikrar serta bertekad bagi meningkatkan hasil pengeluaran tanaman padi secara bersapadu di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, kerajaan perlu merangka garis panduan bagi menjenamakan semula industri padi setiap kali sambutan Pesta Kaamatan.
Katanya, jika tiada langkah bersapadu sampai masyarakat hanya berbangga menyambut Kaamatan sekadar pesta tahunan bagi melengkapkan kalender pelancongan.
“Meskipun Kaamatan adalah asas kepada upacara hasil tuaian padi, tetapi ternyata Sabah masih bergantung dengan bekalan beras import bagi menampung keperluan rakyat di negeri ini.
“Perlu ada usaha bagi membuat penambahbaikkan bagi memastikan Kaamatan menepati keperluan masyarakat sekali gus meningkatkan hasil pengeluaran padi di negeri ini,” katanya.
Masiung merupakan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, disebalik mengetengahkan kepelbagaian tradisi dan budaya Sabah, kerajaan perlu melihat apa sudah jadi dengan industri penanaman padi yang menjadi teras utama Pesta Kaamatan.
“Pesta Kaamatan kini sudah dimodenkan dimana upacara kesyukuran ‘ritual’ semangat padi sekadar berlegar di atas pentas dan jarang sekali dijadikan asas di jelapang padi.
“Kita mahu masyarakat Sabah kembali ke zaman lampau bergotong-royong menanam dan menuai padi kerana usaha itu dapat menjana ekonomi sekali gus dapat membentuk semangat perpaduan kalangan penduduk,” katanya.
Menurutnya, pada masa kini Sabah hanya mencapai pengeluaran 25 peratus tahap sara diri pengeluaran padi hasil daripada tanaman penduduk secara bermusim.
“Harus diingat Wilayah Sabah kini hanya bergantung sepenuhnya kepada beras import dari Thailand, Vietnam dan Cambodia.
“Apa akan jadi kepada rakyat Sabah jika tiba-tiba negara berkenaan menghentikan bekalan beras kerana faktor fenomena global?,” katanya.
Masiung berkata, dalam keseronokan menyambut Kaamatan, kerajaan wajar memikirkan supaya perayaan itu diberi nafas baharu ke arah mewujudkan industri berasaskan padi.