Tingkat keupayaan ekonomi di Tenom – Riduan

Tenom: Kedudukan strategik Tenom terletak di kawasan pedalaman Sabah serta berhampiran dengan pintu masuk Kalimantan Timur, Indonesia dilihat mampu meningkatkan keupayaan ekonomi daerah itu.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tenom, Riduan Rubin berkata, pemindahan ibu kota Indonesia ke kawasan Kalimantan Timur tidak lama lagi, bakal melonjakkan pencapaian ekonomi terutama di daerah Tenom.

“Kita berharap kawasan Pedalaman khususnya Tenom dapat merebut peluang ini dengan bantuan daripada kerajaan untuk mewujudkan model ekonomi yang baharu di kawasan Pedalaman dengan pembukaan pintu masuk Malaysia-Indonesia di Pedalaman yang berjiran dengan Kalimantan Timur bagi tujuan aktiviti perdagangan.

“Bayangkan limpahan ekonomi pembukaan ibu kota Kalimantan timur ini mengalir dalam ekonomi di daerah kita.

“Sudah pastinya kita akan menjadi daerah yang paling pesat membangun dari aspek ekonomi dan peningkatan pendapatan penduduk daerah Tenom,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, hari ini.

Untuk rekod, Indonesia meneruskan rancangan untuk memindahkan ibu negaranya, Jakarta ke kepulauan Borneo bermula tahun pertama 2024 hadapan.

Kalimantan Timur yang terletak di kawasan berjiranan Sabah dan Sarawak dirancang sebagai pusat ibu kota baharu negara Indonesia dengan difahamkan melibatkan lokasi seluas 56,180 hektar.

Dalam perkembangan sama, Riduan memuji pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) diilhamkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dengan melihat perkara itu sebagai wadah terbaik.

Ini sekali gus membangunkan negeri Sabah kini mulai memperlihatkan hasil dengan kemasukan pelabur luar untuk melabur perniagaan mereka ke Sabah.

Perkara ini adalah petanda jelas bahawa kepimpinan serta visi dan misi Ketua Menteri Datuk Hajiji. Noor mendapat kepercayaan serta pengiktirafan pelabur Antarabangsa.

“Kita mencadangkan agar kerajaan menetapkan dasar dan model ekonomi yang sesuai dengan bentuk ekonomi kita di daerah Pedalaman.

“Model kerangka ekonomi baharu Pedalaman ini akan memberikan manfaat kepada kedua-dua Negara Malaysia-Indonesia.

“Ini khususnya dalam menerokai potensi peluang ekonomi di Ibu Kota Indonesia iaitu Kalimantan Timur yang dijangka boleh mencapai belasan trilion ringgit sekali gus dapat memacu pertumbuhan ekonomi daerah Pedalaman khususnya di Tenom,” katanya.