KOTA KINABALU: Pelan Induk Gas Sabah melibatkan kerjasama antara Kerajaan Negeri serta Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), sebagai pemacu pelaburan dalam sumber gas asli Sabah dilancarkan hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, pelancaran pelan ini menandakan satu lagi peristiwa penting bagi Sabah selepas menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) pada 7 Disember tahun lalu.
“Pelan induk ini mengetengahkan tiga peluang pelaburan utama yang berlainan ciri untuk sumber gas asli Sabah, yang pertama iaitu pembinaan loji gas asli cecair (LNG) dengan kapasiti 2.0 juta tan setahun (MTPA) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
“Kemudahan LNG, pertama di negeri ini juga akan memberi peluang kepada Sabah mengembangkan pengedaran LNG di seluruh negeri melalui aktiviti seperti sistem saluran paip maya.
“Ini membolehkan lebih banyak perniagaan perindustrian dan komersial mengakses serta menggunakan gas asli sebagai sumber tenaga yang lebih bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pelancaran Pelan Induk Gas Sabah di Menara PETRONAS 2 di sini hari ini.
Hajiji berkata, kedua kerajaan negeri akan mengambil peranan lebih menonjol dalam menerajui aktiviti pemasaran dan pengedaran gas di Sabah, dengan 120 MMscfd bekalan gas akan disediakan bagi pembangunan industri utama di negeri ini.
Gas asli itu akan dibekalkan dari Terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis, dan Terminal Gas Sabah di Tuaran.
“Sebagai tanda kemajuan hasrat itu, pemeteraian perjanjian induk (HOA) telah ditandatangani antara Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan PETRONAS.
“Ini bertujuan untuk pembekalan 70 MMscfd gas asli, serta pertukaran dokumen HOA yang ditandatangani sebelum ini untuk 50 MMscfd bekalan gas asli, bagi kegunaan di Sabah,” katanya.
Haji menambah, pelan induk ini menekankan satu set derivatif pilihan petrokimia untuk Sabah bagi menarik pelabur, berdasarkan keperluan pasaran serta prospek masa depan, iaitu memanfaatkan bahan mentah sedia ada di dalam negara.