KOTA KINABALU: Pihak membuat hantaran berunsur fitnah terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di media sosial perlu dikenakan tindakan tegas sebagai pengajaran.
Ketua Penerangan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Annabell Perian, berkata tindakan keras wajar diambil dan diberikan kepada penyebar maklumat palsu atau berunsur fitnah itu.
“Jangan cemari kandungan media sosial kita dengan perkara seumpama itu kerana kita semua harus berpegang kepada prinsip menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab.
“Setiap satu hantaran kita di media sosial akan kekal dan dilihat kelak oleh anak cucu dan generasi akan datang, malu jika generasi akan datang melihat sifat-sifat tidak bertanggungjawab dan hasad dengki seumpama ini di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau mengulas dakwaan salah guna kuasa yang disebarkan di media sosial berhubung urusan permohonan tanah di Pulau Balambangan, Kudat membabitkan seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Ketua Menteri.
Annabell yang juga Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Sungai Sibuga bersama Ketua Bahagiannya, Datuk Amirshah Yaakub dan ahli parti turut membuat laporan polis berhubung hantaran yang disifatkan sebagai fitnah terhadap Ketua Menteri dan kerajaan negeri itu.
Berdasarkan hantaran di Facebook beberapa hari lalu, Hajiji didakwa menyalah guna kuasa berhubung kelulusan permohonan tanah di Kudat yang dikaitkan dengan perlombongan pasir silika.
Hajiji kemudian mengeluarkan kenyataan menafikan tuduhan itu dan menegaskan bahawa semua permohonan berkaitan pengambilan tanah dibuat dengan mengikut prosedur dan undang-undang.
Sementara itu, Annabell berkata orang ramai sepatutnya menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan maklumat yang bermanfaat kepada masyarakat.
Katanya, media sosial yang berkembang seiring teknologi semasa seharusnya menjadi satu kelebihan yang digunakan untuk jaringan perhubungan dan sumber maklumat yang membawa faedah kepada masyarakat.
“Wajar untuk kita faham bahawa media sosial adalah sebuah platform untuk kita bersosial dan menambah kenalan, secara dalam talian.
“Dengan media sosial, kita boleh berkongsi maklumat, info semasa, foto dan video berfaedah yang boleh digunakan oleh semua penggunakan media sosial yang lain, bagi tujuan kebaikan.
“Misalnya berkongsi info terkini, ilmu-ilmu yang bermanfaat, tips-tips dan banyak lagi,” katanya.
Katanya, salah guna media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab boleh membawa kepada perpecahan dan perselisihan dalam kalangan masyarakat.