KUALA LUMPUR: Tindakan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) merupakan puncc utama mencetuskan isu ketidakpercayaan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Dr Zahid Hamidi berkata, sedangkan perkara itu boleh dibincangkan dalam Kabinet tanpa perlu terus kepada Istana Negara sekali gus dihebahkan pula kepada awam.
Katanya, hari ini Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan tindak tanduk kelompok mereka menyebabkan Perdana Menteri terpaksa membubarkan Parlimen.
“Malah mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan yang menyebabkan baginda menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air.
“Ternyata tindakan ini adalah niat jahat musuh Barisan Nasional (BN) untuk mengaibkan Perdana Menteri dari BN,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri boleh sahaja memecat 12 menteri terbabit, namun ia hanya akan membawa krisis yang lebih besar, parah dan memalukan pentadbiran negara.
“Ia juga akan membabitkan undi tidak percaya dan sebagainya. Maka, jalan terbaik untuk berdepan dengan karenah ahli Kabinet tidak berdisiplin inilah Perdana Menteri pergi mengadap Yang di-Pertuan Agong dan memohon perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen.
“Ini sesuai juga bagi mengembalikan mandat kepada rakyat, yang sebelum ini ramai yang melompat parti, menjawab cabaran Muhyiddin untuk bubar Parlimen, dan memastikan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara tidak terganggu pada masa akan datang,” katanya.
Di sebalik penafian Muhyiddin, beliau berkata, parti itu juga menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri selain mendedahkan perjanjian persefahaman beliau.
“Sedangkan BERSATU sudah ada jawatan Menteri kanan, Menteri-menteri dan jawatan GLC. Tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri terbabit tidak sensitif dengan situasi pemulihan ekonomi negara dan dasar jimat cermat negara. Sebaliknya BERSATU asyik memikirkan mengenai jawatan, pangkat dan kedudukan sahaja,” katanya.