Oleh: Jaffar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Tiga syarikat swasta berminat bagi membangunkan ‘Projek Sky Train’ dalam usaha meningkatkan sistem pengangkutan awam di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, antara syarikat terbabit iaitu Guancai (M) Sdn Bhd; China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd dan Vizione Deveploment Sdn Bhd.
Katanya, Projek Sky Train ini bukan sesuatu mustahil untuk dilaksanakan sekiranya wujud perancangan rapi dalam kedua-dua pihak sekaligus mempunyai peruntukan kewangan bagi melaksanakanya.
“Kerajaan negeri sangat komited untuk melaksanakan cadangan ini. Memang ada beberapa pelabur tempatan dan luar negara berminat termasuk negara China bagi melaksanakan projek ini secara Inisiatif Pembiayaan Swsata (PFI).
“Kita menyambut baik cadangan mereka…Ini sudah tentu dilihat sebagai salah satu inisiatif baharu dalam meningkatkan prasarana disamping mampu mengurangkan kadar kesesakan lalulintas di khususnya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mendengar taklimat cadangan daripada gabungan tiga syarikat tempatan serta luar negara yang menunjukkan minat untuk melaksanakan projek tersebut, di Bilik Mesyuarat Jabatan Kerja Raya Sembulan, di sini hari ini.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya menyarankan agar ketiga-tiga syarikat tersebut mengemaskini cadangan itu termasuk mengadakan beberapa siri perbincangan secara terperinci bersama agensi kerajaan yang berkaitan.
Ini termasuklah Kementerian Kerja Raya; Jabatan Keretapi Negeri Sabah; Jabatan Tanah Ukur Negeri Sabah; Unit Perancang Ekonomi Negeri serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), sebelum cadangan ini diangkat ke mesyuarat Kabinet.
“Beberapa perkara perlu diselesaikan serta diperhalusi terlebih dahulu khususnya melibatkan isu pengambilan tanah dan sebagainya. Oleh itu perancangan serta perbincangan yang lebih kerap perlu dilakukan segera sebelum cadangan ini diangkat ke peringkat mesyuarat kabinet,” katanya.
Sudah tentu jika projek ini dapat direalisasikan ia akan dapat mengubah landskap pembangunan prasarana sistem pengangkutan awam di sekitar bandar Kota Kinabalu selain dilihat dapat mengatasi isu kesesakan lalu lintas.
Bung berkata, ‘Projek Sky Train’ jika terlaksana kelak sudah tentu ia menjadi daya tarikan baharu kepada pelancong dalam dan luar negara khususnya yang datang berkunjung di negeri ini.
“Kerajaan akan terus meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelabur luar bagi membantu membangunkan negeri ini. Kemasukan pelabur sudah tentu akan memastikan lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan di masa depan,” katanya.
SabahNewsToday