Tiga Suspek Ditangkap Dalam Operasi Geng Ali Baba di Tawau

TAWAU : Seorang penjawat awam melaporkan kejadian pecah masuk di rumah kebun miliknya di Jalan Garson Spur Apas Balung. Dalam insiden tersebut, beberapa peralatan telah dicuri.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata, polis bertindak atas laporan tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau melancarkan operasi untuk mengesan “Geng Ali Baba” yang disyaki terlibat.

Katanya, serbuan pertama dilakukan di Kampung Inderasabah, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun ditangkap bersama satu set pembesar suara berwarna hitam.

“Suspek kemudian memandu arah polis ke lokasi kedua, di mana seorang lelaki asing berusia 30-an juga ditangkap dan pelbagai barangan dipercayai barang kes pecah rumah dirampas.

Dalam serbuan ketiga di Kampung Wakuba, seorang lelaki tempatan berusia 60-an ditahan, dengan rampasan berupa sebuah amplifier dan sebuah laptop,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.