Tiga lelaki ditahan curi kabel telekom bernilai RM28,000

LABUAN : Tiga lelaki tempatan ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad, di kawasan Kampung Bukit Kalam dan Rancha-Rancha, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Supt Mohd Hamizi Halim berkata, kesemua suspek tersebut masing-masing berumur antara 35 hingga 42 tahun sekali gus pernah mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Katanya, hasil pemeriksaan ujian kencing dua daripada suspek didapati positif dadah Jenis Amphetamine dan Methamphetamine (syabu).

“Hasil tangkapan itu, pihak polis juga merampas sebuah kenderaan serta beberapa peralatan yang disyaki digunakan suspek untuk memotong kabel berkenaan.

“Kesemua mereka ditahan reman selama empat hari bermula semalam   untuk siasatan lanjut. Semakan juga mendapati ketiga tiga suspek pernah ditahan dibawah Seksyen 379/414 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15  (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Hamizi berkata, pada 24 Julai lalu pihaknya menerima laporan polis berkaitan kehilangan serta kerosakkan kabel di kawasan Kampung Bukit Kalam dan Rancha-Rancha Labuan.

“Polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Labuan melancarkan Op Lusuh berdasarkan laporan daripada pengadu kemudiannya berjaya menahan ketika-tiga suspek terbabit.

“Pihak Telekom Malaysia Berhad menganggarkan kerugian RM28,000 akikat daripada kes kerosakan serta kecurian kabel berkenaan,” jelas Mohd Hamizi.