TAWAU : Dua bot tempatan ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram serta membawa muatan barang kawalan tanpa permit dalam dua kejadian berasingan di sini kelmarin.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Tawau, Kapten Shahrizan Raman berkata, pihak menerima maklumat berkaitan sebuah bot kargo membawa muatan barang kawalan keluar dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik kira-kira jam 2.30 petang.
Katanya, pemeriksaan lanjut terjadap bot terbabit mendapati dua lelaki tempatan berumur 26 dan 30 tahun mengendalikan bot terbabit gagal mempamerkan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa.
“Sebuah lagi bot tunda bersama bot kargo tempatan ditahan untuk diperiksa selepas disyaki menjalankan operasi sama di lokasi 0.25 batu nautika selatan Muara Sungai Bombalai kira-kira jam 5.40 petang kelmarin.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kapal ini sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel atau dikenali ‘ship to ship transfer’ tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sharizan berkata, kedua-dua pengendali kapal ini terdiri daripada seorang warga tempatan bersama lima pemegang pasport warga Indonesia lelaki berumur antara 34 hingga 44 tahun.
“Apa yang jelas, kedua-dua kapal ini dipercayai menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel tanpa sebarang permit kebenaran. Seorang krew didapati tidak memiliki permit kerja yang sah kerika berada di bot berkenaan,” jelas Sharizan.
Menurutnya, pihaknya menahan bot bersama muatan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
“Kesemua barangan rampasan termasuk ketiga-tiga bot bersama muatan disita dianggarkan bernilai lebih RM3.16 juta,” kata Sharizan.