Dua beranak ditahan terlibat sindiket pengeluaran Pas Lawatan IMM 13

SANDAKAN : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan reman ibu dan anak kerana disyaki terlibat dalam pengeluaran pas lawatan IMM 13 didalangi beberapa petugas sebuah agensi penguat kuasa di daerah ini.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 2 Ogos ini terhadap kedua-dua mereka dikeluarkan Majistret Marilyn Kelvin setelah permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek pertama berusia 50-an dipercayai melakukan perbuatan tersebut bersama anak perempuannya berusia sekitar 30-an dan mereka telah ditahan kira-kira jam 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.

“Kedua-dua ibu dan anak ini dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM 13 kepada pelarian dari Filipina yang datang berlindung di Sabah akibat pergolakan sekitar awal 1970-an.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2022 dan ia melibatkan wang rasuah berjumlah kira-kira RM20,000,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan akan dibuat susulan penahanan tersebut.