BELURAN : Tiga individu termasuk dua warga asing didakwa di Mahkamah Litar Beluran atas kesalahan memalsukan maklumat dalam permohonan kad pengenalan di bawah Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
Dalam kes pertama, seorang lelaki warga Indonesia, Muhsen Lanno, 50, mengaku bersalah memberi maklumat palsu bagi mendapatkan MyKad atas nama Azizi Yahatang menggunakan sijil kelahiran yang bukan miliknya.
Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Beluran pada 25 Julai 2019. Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar, selain merujuk tertuduh kepada Jabatan Imigresen Malaysia.
Kes kedua membabitkan warganegara Malaysia, Abit Amir, 47, yang mengaku bersalah kerana bersubahat membantu seorang warga Pakistan, Islam Habibul Ali, mendapatkan MyKad menggunakan sijil kelahiran anak kandungnya sendiri, Mohd Izaz.
Kesalahan itu dilakukan pada 13 Februari 2017 dan Abit dijatuhi hukuman denda RM5,500 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar.
Sementara itu, dalam kes ketiga, Islam Habibul Ali yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, turut didakwa atas cubaan mendapatkan MyKad menggunakan sijil lahir milik orang lain di lokasi dan tarikh sama.
Bagaimanapun, tertuduh gagal hadir ke mahkamah hari ini dan mahkamah menetapkan 3 September 2025 sebagai tarikh prosiding Summon To Accuse (STA).
Ketiga-tiga kes didengar di hadapan Majistret Nur Faezah Jafry dengan pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohamad Faizal Tahir.
Kertas pertuduhan masing-masing disediakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Shafeerah Mad Iskim dan Bryan Francis.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Sabah yang bertanggungjawab membuat tangkapan dan mendakwa ketiga-tiga tertuduh menegaskan bahawa pihak jabatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba menipu sistem pendaftaran negara kerana ia boleh menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara.
