Tiga beradik guna kad ATM tercicir untuk membeli-belah ditahan

LAHAD DATU : Tiga adik-beradik ditahan selepas disyaki menggunakan kad ATM Agro Bank milik individu lain secara tidak sah untuk membuat pembayaran tanpa kebenaran di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, suspek merupakan wanita warga tempatan ditahan selepas polis menerima laporan daripada pemilik kad ATM terbabit.

“Pengadu menyedari kad ATM miliknya hilang kemudiannya membuat semakan dengan pihak Agro Bank mendapati kad itu digunakan.

“Transaksi menunjukkan kad ATM di beberapa premis membeli-belah di sekitar Lahad Datu tanpa pengetahuannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulbaharin berkata, polis berdasarkan laporan terbabit menahan tiga suspek terbabit sekali gus mengaku menggunakan kad ATM untuk membeli barangan keperluan peribadi.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana mengakses sistem komputer secara tidak sah dengan niat untuk melakukan penipuan.

“Polis mengingatkan orang ramai supaya segera melaporkan kehilangan kad bank dan sentiasa berwaspada terhadap sebarang penyalahgunaan maklumat kewangan bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah siber,” jelas Dzulbaharin.