LABUAN : Belum ada sebarang keputusan dicapai terhadap cadangan pembinaan Pelabuhan Bersepadu bagi menggantikan Pelabuhan Merdeka Labuan dikenal pasti sudah tidak sesuai di Pusat bandar Wilayah Persekutuan Labuan.
Timbalan Menteri Pengangkutan (MOT), Datuk Hasbi Habibolah berkata, sebarang perbincangan untuk pembinaan projek itu boleh dimulakan selepas penilaian serta perancangan terperinci di muktamadkan.
Katanya, ketika ini kementerian belum dapat memberikan sebarang butiran mengenai cadangan pembinaan projek itu berikutan pelan induk Pelabuhan Bersepadu belum disiapkan.
“Ini termasuk penilaian serta perancangan terperinci kesan alam sekitar (EIA) belum dilaksanakan dan hala tuju keseluruhan projek itu juga masih belum ada kepastian.
“Kajian kebolehlaksanaan perlu dilaksanakan sebelum sebarang keputusan muktamad dilakukan. Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) juga perlu dilibatkan sepenuhnya dalam projek ini,” katanya di sini semalam.
Hasbi berkata, kementerian juga sedang mempertimbangkan Pelan Pembangunan Labuan 2030 memperuntukan tanah seluas 80.9 hektar untuk projek ini.
“Sementara itu, usaha menaiki taraf terminal feri Ro-Ro Labuan menerusi peruntukan RM22 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diteruskan seperti yang dirancang.
“Kita sedang menunggu butiran peruntukan itu untuk disahkan dalam belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada Oktober ini,” jelas Hasbi.
Dalam masa sama, beliau dalam rangka lawatan kerja selama dua hari mengadakan lawatan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Laut Labuan serta membuat lawatan ke tapak cadangan projek Pelabuhan Bersepadu di Rancha-Rancha.
