ESSCOM tahan 18 PATI operasi bersepadu di Tawau

TAWAU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi yang dijalankan pada 26 September lalu.

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata, kesemua suspek terbabit ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 hasil pemeriksaan terhadap 187 individu sepanjang Operasi Bersepadu Siri 2/ 2024 di sekitar daerah Tawau.

Katanya, operasi diketuai Ketua Staff Bahagian Operasi Darat ESSCOM, Datuk Habibi Majinji dengan dibantu oleh Timbalan Ketua Staff Operasi Darat, ACP Rudy Abdullah.

“Sepanjang operasi bersepadu ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa sebanyak 103 kenderaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan manakala 41 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.

“Operasi Bersepadu ini dilaksanakan di sekitar kawasan Jeti Awam Tawau dan Kampung Kurnia Jaya Batu 4 Apas, di sini,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Victor berkata, objektif utama operasi bersepadu ini adalah bagi menjamin keselamatan serta memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

“Selain itu membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta mengekang kemasukan PTI ke dalam negara.

“Pada masa sama, pihak berkuasa yang terlibat turut menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan-kesalahan lain khususnya di kawasan pintu keluar masuk utama warga asing serta penduduk setempat yang menetap sekitar sempadan antara Malaysia dan Indonesia,” jelas Victor.

Menurutnya, ESSCOM komited dalam mencapai misi tiada lagi pencerobohan kali kedua dan mengekalkan sifar penculikan atau kidnap for ransom (KFR) yang menjadi misi utama ESSCOM.