KOTA KINABALU: Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon ditemui lemas, manakala rakanya berjaya diselamatkan ketika melakukan aktiviti mandi-manda bersama rakan-rakannya di sini, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, mangsa pertama dikenali sebagai Hazwi Danial A.Rashid, 14 tahun, ditemukan pasukan Bomba di kedalaman 10 kaki kira-kira jam 2.48 petang tadi.
Katanya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seorang lagi rakan mangsa dikenali sebagai Adi Iskandar Abdullah, 14, bagaimana berjaya diselamatkan serta diberikan bantuan CPR oleh rakan mangsa sehingga sedar.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian ini pada jam 12.44 tengah hari tadi iaitu melibatkan dua orang mangsa dikhuatiri lemas di dalam tasik berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Agustavia berkata, pada awalnya mangsa dilaporkan bersama rakan-rakannya iaitu seramai 20 orang merupakan pelajar dari SMK Tebobon menjalankan aktiviti mandi di kawasan tasik berhampiran Residensi Manggatal.
“Pasukan bomba diketuai oleh Komander Operasi, Pegawai Kanan II Mohd.Faizal Alias bersama 13 anggota menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tepi serta permukaan tasik terbabit.
“Mangsa ditemukan pasukan Bomba pada kedalaman 10 kaki sekali gus disahkan meninggal dunia seterusnya diserahkan kepada pihak Polis untuk siasatan selanjutnya,” jelas Agustavia.
Menurutnya, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan berkenaan, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.12 petang.
