Pengambilan air komersial dari sumber alam dilesenkan JPS mulai 2025 – Dr Jeffrey

KENINGAU : Pengambilan air dari sumber alam untuk tujuan komersial akan dilesenkan bermula tahun hadapan mengikut Enakmen Sumber Air Sabah 1998 di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, pelesenan itu turut melibatkan pengambilan air untuk komersial dari sungai, tasik, laut serta dalam tanah dipersetujui Majlis Sumber Air Negeri Sabah.

Katanya, selepas diwartakan, semua aktiviti pengambilan air dari sungai, tasik, laut serta dalam tanah perlu didaftarkan dengan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) untuk memastikan kerajaan mendapat butiran pengambilan air.

“Pelesenan itu sudah dilaksanakan di negeri-negeri lain dan perincian pelesenan itu di Sabah akan dimuktamadkan untuk hebahan awam.

“Sambutan Hari Sungai Sedunia tersebut dianjurkan JPS bertujuan untuk menghargai dan mengiktiraf kepentingan air sungai yang bersih sebagai sumber kehidupan manusia dan habitat pelbagai spesies flora dan fauna yang menjadi tunjang mengekalkan kesinambungan ekosistem,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Wilayah Sabah 2024 di sini kelmarin.

Dr Jeffrey merupakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, usaha itu turut menyumbang pencapaian Halatuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya untuk melestarikan sektor pelancongan bersandarkan tarikan keindahan alam semulajadi.

Hadir sama Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik dan Timbalan Pengarah JPS Miklin Ationg.