Komunikasi, keterampilan bantu kejayaan Wanita – Flovia

KOTA KINABALU: Kemahiran komunikasi dan keterampilan dapat membantu golongan Wanita mencapai kejayaan dalam era yang serba kompetitif dewasa ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng berkata, dua kemahiran itu dapat membantu Wanita menzahirkan idea dengan jelas untuk membina hubungan kukuh demi mencapai kemajuan bersama.

“Kemampuan Wanita berkomunikasi dengan terampil untuk menyuarakan pandangan membolehkan mereka mendapat pengiktirafan dalam organisasi,” katanya.

Flovia merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Kursus Keterampilan Diri dan Komunikasi Berkesan di sini hari ini.

Kursus sehari anjuran Bersama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan Persatuan Unduk Ngadau Sabah disertai seramai 70 Wanita dari sektor perkhidmatan awam, swasta dan kalangan Unduk Ngadau.

Flovia berkata, kementeriannya menerusi JHEWA berharap program itu dapat membantu kalangan Wanita menampilkan kepimpinan dalam bidang masing-masing untuk memberi inspirasi kejayaan sesama gender.

Turut hadir, Pengarah JHEWA Haslina Ismail serta penceramah Emi Idura Che Hashim.