Tenang FC johan Piala Ketua Pemuda UMNO Beaufort

BEAUFORT: Pasukan Tenang FC muncul johan Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah Piala Ketua Pemuda UMNBeaufort berlangsung di Padang Kompleks Sukan Beaufort, Ahad lalu.

Tenang FC membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 manakala MDB FT menduduki tempat Naib Johan RM7,000 serta tempat ketiga Perkasa Padu dan HLDM City FC masing-masing memenangi piala berserta medal.

Awang Aslee bersalaman dengan pasukan yang menyertai kejohanan tersebut.

Hadiah disampaikan Ketua Bahagian UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Beaufort, Ak.Mohd Yazri Ak.Mohd Yahya berkata, sebanyak 20 pasukan menyertai kejohanan ini termasuk dua penyertaan dari luar iaitu dari daerah Lawas Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kami (Pemuda UMNO Beaufort ) merancang untuk cuba menganjurkan kejohanan bola sepak terbuka pada masa depan selepas melihat sokongan penyertaan yang baik pada edisi kali ini.

“Kita berpuas hati sepanjang kejohanan, semua pasukan menunjukkan displin serta semangat yang tinggi oleh mereka yang menyertai kejohanan kali ini,“ katanya di sini, hari ini.

Mohd Yazri berkata, bola sepak merupakan medium terbaik untuk membentuk sebuah masyarakat bersatu padu serta harmoni, tanpa displin serta kerjasama dari pasukan terlibat sudah tentu kejohanan ini tidak akan berlangsung dengan jayanya.

”Kejohanan ini bukan sekadar mencari pemenang kejohanan atau mencungkil bakat baru dalam sukan bola sepak tapi masej ingin disampaikan adalah kerjasama serta perpaduan dalam kalangan mereka yang terlibat,” jelas Mohd Yazri.

Hadir sama, Naib Ketua Pemuda UMNO Beaufort Md Rashid Mathon, Ketua Wanita UMNO Beaufort Juriffah Safflie dan Ketua Puteri UMNO Beaufort Munira Sarrie.