Lelaki tempatan ditahan mengedar, memproses ‘Air Ketum’ di Kota Marudu

KOTA MARUDU : Polis menahan seorang lelaki tempatan bersama 19 pek plastik lutsinar mengandungi serbuk hijau dipercayai serbuk ketum dan cecair berwarna coklat air ketum di Kampung Ongkilan dekat semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Zairolnizal Ishak berkata, polis akan menjalankan siasatan terhadap suspek berkenaan bagaimana memperolehi serbuk ketum serta cara ia dibawa masuk sehingga ke peringkat di proses untuk dijual di pasaran tempatan di sekitar daerah berkenaan.

Katanya, pihaknya berdasarkan maklumat bersama sepasukan pegawai serta anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Kota Marudu menyerbu sebuah rumah selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar air ketum di daerah ini.

“Hasil pemeriksaan di rumah disaksikan sendiri pemilik rumah, polis menemui beberapa botol mengandungi cecair berwarna coklat dipercayai air ketum yang telah siap diproses.

“Polis juga turut dirampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk memproses serta memasak air ketum bersama wang tunai berjumlah RM400,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairolnizal berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti dari mana serbuk ketum diperolehi serta bagaimana dibawa masuk ke daerah ini sekali gus diproses dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan.

Katanya suspek akan direman selama empat hari di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.dan kes disiasat di bawah seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang mana jika disabitkan kesalahan, hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-dua sekali.