KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri mahu menggalakkan penggunaan teknologi dron kini digunakan dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk pertanian, pelancongan, pembinaan, logistik dan keselamatan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, teknologi dron ini banyak membantu dalam menyelesaikan pelbagai isu termasuk kekurangan tenaga pekerja dalam sektor pertanian.
Katanya, beliau menyeru agar kerjasama lebih erat antara kerajaan, industri, penyelidik serta masyarakat untuk menyesuaikan teknologi dron bagi memacu ekonomi Sabah.
“Sabah tidak seharusnya ketinggalan dalam aspek penggunaan disamping menambah kemajuan teknologi antara keutamaan utama dalam dasar mesra pelabur di negeri ini.
“Saya mengarahkan agar Pihak Berkuasa Kemajuan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) untuk terus mempromosikan teknologi dron sebagai alat peningkatan produktiviti dan pemantauan projek pembangunan,” katanya pada Hari Terbuka Drone Sabah di SICC di sini hari ini.
Teks ucapannya disampaikan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe.
Hajiji berkata, teknologi dron banyak membantu SEDIA dalam mempercepatkan perancangan tanah dan proses pemantauan alam sekitar selaras dengan objektif pembangunan negeri.
“Tambahan pula, SEDIA mempunyai peranan penting dalam mengukuhkan ekonomi Sabah melalui Pelan Tindakan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) 2.0.
“Melalui inisiatif ini, SEDIA menyokong pelaburan dalam sektor pertanian, infrastruktur dan teknologi hijau selaras dengan visi Sabah untuk mencapai pembangunan mampan dan daya saing global,” jelas Hajiji.