Tahun 2025 PRN-17, kembalikan kuasa kepada rakyat untuk diputuskan melalui peti undi – Hajiji

KOTA KINABALU : Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH) Plus menawarkan diri untuk meneruskan kesinambungan pembangunan serta usaha memakmurkan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau mengakui Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) semakin hampir untuk kerajaan pimpinannya memulangkan kembali mandat kepada rakyat melalui proses demokrasi.

Katanya, tahun 2025 merupakan pilihan raya bermakna kerajaan akan menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat untuk diputuskan melalui peti undi.

“Ini bersesuaian dengan amalan demokrasi…..Sebagai ‘Government of the Day’ GRS-PH Plus, akan terus berkhidmat dan berbakti selagi tempoh pemerintahan ini belum berakhir.

“Menjelang pilihan raya nanti, kita akan terus  menawarkan parti kita dan gabungan kita kepada rakyat kerana masih banyak yang perlu kita lakukan untuk membangunkan negeri yang tercinta ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersati Sabah (PBS) di Dewan Hongkod Koisaan di sini hari ini.

Hajiji merupakan Pengerusi GRS berkata, sebagai  kerajaan pilihan rakyat, GRS-PH Plus adalah platform terbaik untuk memantapkan gabungan demi meneruskan agenda perjuangan.

“PRN-17 menuntut usaha bagi memperkukuh kerjasama, mengeratkan perpaduan dan memperhalusi strategi dalam memastikan GRS-PH Plus sebagai pilihan terbaik untuk seluruh rakyat.

“Kita memberi jaminan gabungan GRS-PH Plus bukan saja berupaya dan berkebolehan, malah ikhlas dalam perjuangan yang mana rakyat boleh meletakkan kepercayaan dan menyandarkan harapan,” jelas Hajiji.

Mengenai persidangan PBS, beliau mengakui perhimpunan di Hongkod Koisaan menyerlahkan kedudukan parti itu sebagai antara parti komponen GRS paling kanan diyakini berupaya menyumbang idea bernas dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan kerajaan.

Katanya, PBS yang ditubuhkan hampir 40 tahun lalu terus mara mengharungi samudera politik Sabah yang kadang-kala bergelora tetapi penuh dengan warna-warni.

“Situasi itu menyebabkan Sabah sering menjadi tumpuan penganalisis politik.

“Ini termasuklah parti PBS ini sendiri, kerana PBS adalah ‘part and parcel of Sabah Politics’, yang sejak dahulu sering menarik perhatian umum,” kata Hajiji.