TONGOD : Sebanyak 45 persatuan belia Tongod akan memperoleh geran berjumlah RM135,000 bagi memperkasa golongan muda membangunkan aktiviti rekreasi dan modal insan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, geran peruntukan itu akan mula diagihkan awal tahun hadapan kepada persatuan dan kelab belia masih bergiat aktif sekali gus akan disalurkan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBSS) daerah Tongod.
Katanya, setiap persatuan dan kelab yang bergiat aktif menerima geran berjumlah RM3,000 disalurkan menerusi peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada KKBS daerah.
“Saya telah mengarahkan Pegawai KBSS Tongod untuk mengenal pasti persatuan berdaftar yang masih aktif dan layak menerima geran berkenaan di Tongod.
“Ini bagi membolehkan persatuan belia Tongod dapat menjalankan aktiviti bagi memperkasakan golong itu di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Juara dan Program Aktif di Padang Sukan Kampung Linayukan di sini kelmarin.
Masiung berkata, usaha ini dijangka akan memberi menfaat lebih 150 ribu golongan belia yang menjadi ahli persatuan belia yang berdaftar di daerah itu.
“Kita juga turut mengumumkan akan menyumbangkan sebuah mini bas kepada KBSS daerah Tongod untuk digunakan oleh persatuan dan kelab yang akan menjalankan aktiviti belia.
“Bas Mini ini akan diserahkan pada awal tahun hadapan, memudahkan untuk membawa belia menyertai aktiviti di luar Tongod,” jelas Masiung.
Beliau menyeru agar ahli persatuan supaya menanamkan semangat sang juara untuk misi mencapai sasaran dan matlamat mereka.
“Kita harap agar pemberian geran dan kemudahan Bas Mini itu dapat menyuntik semangat golongan belia melaksanakan aktiviti bermenafaat kepada semua golongan masyarakat,” kata Masiung.
Pada majlis itu pelbagai acara sukan turut diadakan termasuk kejohanan bola sepak melibatkan golongan belia di daerah itu.