Tapak tanah 10 ekar diperlukan bina Klinik Kesihatan Bongawan yang baharu

KOTA KINABALU : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mempunyai perancangan mewujudkan Klinik Kesihatan Jenis Empat Bongawan yang baharu.

Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, namun tapak baharu yang bersesuaian masoh dikenalpasti.

Katanya, ini memandangkan tapak tanah yang dicadangkan sebelum ini tidak sesuai kerana berisiko kepada banjir.

“Cadangan keluasan tapak diperlukan adalah 10 ekar bagi pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 4, dilengkapi dengan kuarters serta kemudahan lain untuk kegunaan kakitangan dan pesakit, ” katanya pada pertanyaan (Dr Daud Yusof-Bongawan) Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.

James berkata, klinik kesihatan bongawan mula beroperasi pada 1963 di Pekan Bongawan.

“Pada asalnya bangunan ini adalah daripada binaan kayu sebelum dinaiktaraf pada 2003 bangunan konkrit.

“Pada masa ini, klinik kesihatan ini menerima jumlah pesakit seramai 160 pesakit sehari,” jelas James.