MEROTAI: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah, menegaskan bahawa rakyat Sabah, khususnya masyarakat luar bandar, perlu mempertahankan tanah pusaka dan tanah kampung untuk diwarisi generasi akan datang.
Beliau berkata, tanah bukan sekadar harta fizikal, tetapi juga lambang maruah, identiti dan kesinambungan hidup rakyat Sabah.
“Oleh itu, beliau mengingatkan agar penduduk tidak mudah tergoda menjual tanah mereka kepada pihak luar yang hanya mementingkan keuntungan jangka pendek.
“Jangan jual tanah yang telah menjadi hak milik keluarga kita. Tanah inilah tempat kita mencari rezeki, membina rumah, dan mewariskannya kepada anak cucu.
“Kalau kita jual, bukan sahaja kita hilang tanah, tapi kita juga hilang akar dan identiti kita sendiri,” katanya dalam satu majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Iban, Merotai, di sini hari ini.
Liew yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah menambah, perjuangan mempertahankan hak milik tanah rakyat adalah antara agenda utama perjuangan PHRS sejak parti itu ditubuhkan.
Beliau menegaskan bahawa partinya tidak akan berdiam diri apabila hak rakyat tergadai akibat kelemahan pentadbiran atau ketidaktelusan dalam pengurusan tanah negeri.
Menurutnya, PHRS akan terus memberi tekanan kepada pihak kerajaan negeri agar proses pewartaan tanah kampung di seluruh Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan telus.
“Kita akan pastikan tanah di Kampung Iban dapat diwartakan dan diserahkan kepada penduduk kampung.
“Ini hak rakyat yang tidak boleh dinafikan. Sebahagian kawasan telah diluluskan sebagai Tanah Warta Kampung, dan saya mahu pastikan baki kawasan lain juga mendapat pengiktirafan yang sama,” tegas beliau.
Beliau menjelaskan bahawa apabila sesuatu kawasan telah diwartakan sebagai Tanah Warta Kampung, penduduk bukan sahaja mendapat jaminan hak milik yang sah, tetapi mereka juga akan mendapat manfaat daripada pelbagai program pembangunan kerajaan.
“Apabila tanah sudah diwartakan, barulah kerajaan boleh menyalurkan peruntukan dengan lebih mudah — untuk membina jalan raya, menambah baik bekalan air dan elektrik, serta membangunkan projek pertanian dan ekonomi komuniti,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Liew menyeru rakyat agar lebih peka terhadap isu tanah adat dan dasar pembangunan negeri.
“Ini supaya mereka tidak mudah dipermainkan oleh pihak tertentu yang hanya datang mencari sokongan ketika musim pilihan raya.
“Jangan salah pilih pemimpin. Pilihlah mereka yang benar-benar berjuang untuk rakyat, bukan yang hanya muncul bila tiba masa pilihan raya.
“Saya bukan turun padang bermusim, saya bersama rakyat sepanjang masa,” ujarnya disambut sorakan dan tepukan gemuruh daripada penduduk.
Tambah beliau, perjuangan mempertahankan tanah bukan hanya soal politik, tetapi soal tanggungjawab sosial dan moral terhadap masa depan rakyat Sabah.
“Kalau kita biarkan tanah kita tergadai, generasi akan datang akan hidup merempat di tanah sendiri.
“Sebab itu saya menyeru agar kita semua bersatu menjaga hak kita, dan jangan biarkan orang luar mengambil kesempatan,” katanya lagi.
Liew turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh penduduk Kampung Iban atas kepercayaan dan sokongan berterusan mereka.
Beliau berjanji akan terus turun padang untuk mendengar masalah rakyat dan membawa suara mereka ke peringkat negeri serta kebangsaan. Saya percaya jika rakyat bersatu, suara kita akan lebih kuat.
“PHRS akan terus menjadi wadah perjuangan rakyat Sabah — untuk tanah, untuk masa depan, dan untuk generasi yang akan datang,” katanya.
