KOTA KINABALU: Penghijrahan beberapa pemimpin pada saat akhir menjelang Hari Penamaan Calon tidak menjejaskan keutuhan dan kekuatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini semakin tersusun di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, kata aktivis politik pro-GRS, Aksyah Nasrah.
Beliau berkata, perpindahan keluar sebilangan kecil ahli atau bekas pemimpin GRS dianggap sebagai proses semula jadi dalam dunia politik dan tidak memberi kesan besar terhadap kekuatan sebenar gabungan itu. Malah, katanya, situasi tersebut membuka ruang kepada GRS untuk menilai semula barisan pemimpin yang benar-benar setia serta berjiwa perjuangan.
“Saya yakin Datuk Seri Hajiji berlapang dada menerima perkara ini kerana beliau memahami inilah asam garam demokrasi. Dari satu sudut, penghijrahan ini memberi hikmah apabila GRS dapat memperkukuh pasukan dengan mereka yang ikhlas dan teguh bersama perjuangan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Aksyah, kemasukan bekas pemimpin GRS ke parti lain tidak semestinya membawa kekuatan kepada parti baharu itu, malah berpotensi menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli lama yang berjuang sejak awal. Katanya, keadaan itu boleh mencetus ketegangan apabila kempen pilihan raya bermula nanti.
“Biarkan mereka dengan labu-labunya. GRS kekal fokus kepada perjuangan rakyat dan memperkukuh strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah pada 29 November ini,” tegasnya sambil menyeru semua jentera GRS supaya kekal berdisiplin dan bersemangat.
Aksyah turut menegaskan bahawa kekuatan sebenar sesebuah parti tidak terletak pada jumlah ahli semata-mata, tetapi pada kualiti, kesetiaan dan strategi menghadapi cabaran politik. Beliau menyifatkan rekod pentadbiran GRS di bawah Hajiji sebagai cemerlang melalui pelaksanaan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang berjaya menstabilkan politik serta membawa kemakmuran kepada rakyat negeri ini.
