18 PATI Ditahan Dalam Serbuan Imigresen di Keningau, Semporna

KOTA KINABALU – Taktik bersembunyi di kawasan terpencil tidak menjadi apabila 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di dua daerah, baru-baru ini.

Operasi yang dijalankan pada 28 dan 29 Oktober lalu di Keningau dan Semporna itu berjaya menahan dua warga Pakistan, 14 warga Filipina dan dua warga Indonesia selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 90 individu di beberapa lokasi tumpuan.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan dan aduan awam menerusi siri tindakan bersepadu termasuk Ops Kutip, Ops Belanja dan Ops Jaja.

“Operasi dijalankan bagi mengesan warga asing tanpa dokumen sah serta mereka yang tinggal lebih masa.

“Kawasan tumpuan dikenal pasti sebagai lokasi persembunyian PATI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi yang bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah malam itu membabitkan 13 pegawai penguat kuasa Imigresen dari daerah Semporna dan Keningau.

Sitti Saleha berkata, semua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

“JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melindungi atau membenarkan PATI tinggal di premis mereka. Tindakan tegas akan diambil tanpa pengecualian,” tegasnya.

Menurutnya, operasi seumpama itu akan terus diperhebat bagi memastikan Sabah bebas daripada kehadiran pendatang tanpa izin yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

“Kami juga menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI di kawasan masing-masing bagi membantu usaha penguatkuasaan,” katanya.

JIM Sabah menegaskan pihaknya akan memperkukuh risikan dan pemantauan di seluruh negeri termasuk di kawasan pedalaman dan pantai timur yang dikenal pasti sering menjadi laluan masuk warga asing tanpa dokumen.

“Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan negeri terus terpelihara,” tambah beliau.