Pengundi Putatan, Tanjung Keramat Diseru Pilih Kerajaan Stabil dan Cemerlang

PUTATAN: Pengundi berdaftar di negeri ini khususnya di Parlimen Putatan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat diseru agar menunaikan tanggungjawab mereka keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 29 November ini.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, meskipun pilihan undi adalah hak setiap warganegara dalam sistem demokrasi, namun keutamaan perlu diberikan kepada kerajaan yang memiliki keupayaan mentadbir dengan stabil serta mempunyai rekod cemerlang dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Pengundi perlu menilai kerajaan berdasarkan trek rekod pentadbiran, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Ini penting bagi memastikan kelangsungan pembangunan dan kemakmuran di Sabah dapat diteruskan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Talenttime Evergreen Songs Komuniti Madani Tanjung Keramat Putatan di Dataran Tomoi, pada Sabtu.

Beliau turut mengingatkan bahawa kestabilan politik merupakan asas utama bagi kerajaan untuk merancang dan melaksanakan dasar pembangunan yang mampan. “Kita mahu kerajaan yang stabil supaya kemakmuran dan kesejahteraan dapat terus dipacu di bandar dan negeri kita,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shahelmey berkata, program seumpama Talenttime Evergreen Songs mempunyai potensi besar sebagai platform mencungkil bakat seni dalam kalangan masyarakat setempat, selain menjadi wadah perpaduan komuniti.

Program anjuran JKDB dan JKKK dengan kerjasama Pejabat Parlimen P.173 Putatan itu, katanya, bukan sahaja menghiburkan malah menyemarakkan semangat kebersamaan masyarakat di kawasan tersebut.