Tan Sri Abdul Majid Khan terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah sempena konvo UMS ke-25

KOTA KINABALU : Tokoh politik dan korporat tempatan, Tan Sri Abdul Majid Khan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Perladangan Hutan) sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-25.

Pengurniaan Ijazah Kehormat tersebut disampaikan oleh Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor pada sidang kedua konvokesyen UMS yang bermula semalam.

Abdul Majid Khan

Dilahirkan di Kudat pada 15 Disember 1943, Abdul Majid merupakan seorang usahawan yang berpengalaman luas dalam bidang perbankan, korporat, perladangan, politik dan perkhidmatan awam.

Beliau memegang pelbagai jawatan penting dalam bidang politik dan perkhidmatan awam, termasuk dilantik sebagai ahli Dewan Undangan Negeri Sabah dari tahun 1981 hingga tahun 1985, selain turut diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Duta Besar Malaysia (Ambassador at Large) ke Iraq dari tahun 2010 – 2013.

Satu pelantikan yang dibuat atas kejayaan beliau melebarkan sayap perniagaan sehingga ke luar negara seperti di Timur Tengah dan Afrika bagi perdagangan kelapa sawit, papan lapis dan kayu gergaji.

Dalam bidang perniagaan, beliau pernah mengorak langkah ke Indonesia untuk menceburi bidang perusahaan kayu balak serta perusahaan perhotelan di Balikpapan, sebelum kembali semula ke Sabah pada tahun 1976 bagi mencari peluang perniagaan dan pelaburan.

Perniagaan yang diusahakannya telah berkembang luas dan antaranya adalah dengan penubuhan sebuah syarikat perladangan iaitu Jawala Plantation Industries Sdn. Bhd. (JPISB), anak Syarikat Jawala Inc. yang tersenarai di Singapore Stock Exchange (SGX), sebuah syarikat sumber hutan yang memfokus kepada perladangan hutan lestari di Sabah.

Sumbangan pihak JPSIB dalam memperkasakan pengajian tinggi adalah dengan menyokong pendekatan baharu UMS yang telah memperkenalkan ‘Living Lab’, iaitu menyediakan kawasan lapangan untuk pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan kepada pelajar.

Pihak Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) khususnya telah menjalin hubungan kerjasama dengan JPISB yang antara lain meliputi perbelanjaan sebanyak RM1.3 juta untuk membina kemudahan seperti asrama dan tempat kuliah bagi pelajar FPT menjalankan latihan industri di Jawala ‘Foresty Living Lab’.

Menerusi perniagaan itu, kira-kira 400 peluang pekerjaan diwujudkan yang memberi banyak manfaat kepada penduduk sekitar, selain penambahbaikan fasiliti pengajaran di sekolah-sekolah berhampiran termasuk bekalan air dan tandas, serta kampung berhampiran mendapat bekalan air graviti.

Dalam pada itu, beliau ketika menyampaikan ucapan balas berharap sektor perhutanan berkembang dengan menyediakan pekerjaan, kemahiran dan mata pencarian kepada penduduk luar bandar yang boleh hidup selesa dengan menyediakan pendidikan yang sangat diperlukan untuk anak-anak dan generasi masa depan.

Katanya penggunaan dan penggabungan teknologi moden dalam sektor kayu perlu direalisasikan untuk memacu Sabah menjadi pemain global utama dalam industri.