Dua lelaki mengaku tidak bersalah lakukan ugutan jenayah

SANDAKAN : Dua lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengugut dengan menakutkan secara jenayah di sini bulan lepas.

Tai Soon Hui, 24, dan Al Hafeez Latif, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Nur Faezah Jafry selepas pertuduhan dibacakan oleh penterjemah mahkamah.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu terhadap Nor Farahana Atikah Lukas, 29, di PPR Taman Murni lebih kurang pukul 9 pagi pada 28 November lepas.

Kes itu didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka masing-masing berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM1,300 dengan seorang penjamin tempatan dan menetapkan 29 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Insp Nooraznie Bolalan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Wesley Chang Zeyang.