Mustapha tekad perkasa pendidikan di IPT, fokus membantu pelajar miskin tegar antara cabaran di kementerian baharu

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud bersedia menggalas, membantu pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) antara fokus serta tanggungjawab baharu menjelang 2024.

Mustapha berkata, fokus kini tertumpu kepada memperkasa sinergi antara akademik dan industri dalam mencapai objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Kerangka Ekonomi Madani.

“Di bawah portfolio baharu yang diamanahkan ini saya akan cuba memberi perhatian kepada isu-isu yang dekat dengan pemegang taruh di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Antaranya adalah usaha membimbing pelajar dalam kalangan miskin tegar untuk menamatkan pengajian; meminimumkan ketidakpadanan pekerjaan yang mengakibatkan guna tenaga tidak penuh (under employment).

“Selain itu memastikan libat urus antara pelajar dan agensi kerajaan berjalan dengan baik sebagai pendedahan kepada keperluan semasa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mustapha merupakan Ahli Parlimen Sepanggar berkata, beliau juga akan berusaha memperkasa sinergi antara akademik dan industri dalam mencapai objektif NIMP, NETR dan Kerangka Ekonomi Madani.

“Kita juga akan memastikan pelajar yang menjalani latihan praktikal mendapat elaun yang setimpal; memastikan bakat dalam negara mencukupi sebagaimana permintaan pelabur dan menurunkan kadar pengangguran dalam kalangan belia yang kini pada 10.1 peratus.

“Dalam masa sama, kita akan turut mempromosikan kesedaran kesihatan mental dan memperkasa kekuatan emosi dan spiritual dalam kalangan pelajar,” jelas Mustapha yang sebelum ini menjawat Timbalan Menteri Sumber Manusia.