SANDAKAN : Penduduk Taman Grandview di sini memohon agar pihak berkuasa tempatan membuat penyelenggaraan di taman awam berhampiran dengan segera.
Mereka mendakwa keadaan persekitaran taman itu bukan sahaja terbiar, malah rumput panjang dan sampah di merata-rata tempat.
Menurut Diyana Nazri, taman awam itu menjadi lokasi tumpuan ramai terutama penduduk perumahan berhampiran untuk melakukan aktiviti riadah dan senaman.
“Biasanya ramai yang datang ke taman ini pada waktu awal pagi atau petang. Ada yang datang sendiri, bersama kawan mahupun keluarga. Agak sedih juga melihat keadaan sekeliling taman ini yang terbiar.
“Rumput tumbuh hampir menyamai ketinggian kanak-kanak. Sampah-sarap terbiar kerana tiada tong sampah fizikal disediakan, saya cuma melihat ada guni karung diikat pada pokok yang dijadikan sebagai tong sampah,” jelasnya.
Beliau berharap pihak berkaitan dapat menyelenggara taman awam tersebut secara berkala bagi keselesaan dan keselamatan orang ramai.
Katanya, sebelum ini aduan penduduk mengenai keadaan gelap di taman itu pada waktu malam telah diatasi menerusi pemasangan lampu solar.
Bagaimanapun, katanya, tiada guna juga kalau taman itu bercahaya pada waktu malam, tetapi rumput dibiarkan tumbuh panjang.
“Sandakan memang dikenali kerana keindahan alam semula jadi, tetapi kalau taman awam pun dibiarkan menjadi rimba, rasanya itu tidak sesuai langsung,” katanya.