Enam lelaki mengaku tidak bersalah miliki minyak petrol bersubsidi

SANDAKAN : Enam lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 41,000 minyak petrol bersubsidi di atas sebuah kapal, Ogos lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zaini Fishir @ Fisal menetapkan 15 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan bagi kes tersebut.

Berdasarkan fakta kes, kesemua tertuduh yang berusia diantara 25 hingga 45 tahun telah ditahan lebih kurang pukul 9 malam pada 21 Ogos lepas di dalam Kapal MT Rahmah yang sedang berlabuh di sebuah jeti di Kampung Cenderamata di sini.

Dalam kejadian itu, mereka dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan iaitu berurusan barangan kawalan itu secara borong atau runcit tanpa lesen.

Kes tersebut didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Md Syafique Md Hilmie, manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam, Arthur Borine.

Mahkamah turut membenarkan jaminan RM5,000 dengan dua orang penjamin tempatan bagi setiap tertuduh.

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan akan terus menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di bawah Ops Tiris bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan dan ketirisan minyak petrol dan diesel di daerah ini.