Tahu larangan, tapi masih ramai cuba rentas daerah: Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Orang ramai masih mencuba nasib untuk merentas daerah walaupun larangan sudah dikuatkuasakan di seluruh Sabah sepanjang sambutan Aidilfitri.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, sekatan jalan raya (SJR) polis yang diadakan di seluruh negeri sejak 10 Mei mengesan 642 kenderaan cuba merentas daerah.

“Polis mendapati kebanyakan daripada mereka yang diminta berpatah balik menyedari larangan itu, tetapi mereka hanya mencuba nasib,” kata beliau, dalam kenyataan harian Covid-19 hari ini.

“Orang ramai yang ingin melakukan perjalanan rentas daerah tetapi bukan (atas) perkhidmatan penting atau tidak mendapat kebenaran khas, diingatkan untuk tidak melakukannya.

“Ini untuk memastikan sekatan jalan raya dapat dilaksanakan dengan lancar.”

Kerajaan Sabah sebelum ini melarang perjalanan rentas daerah bermula 10 Mei hingga esok bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 ketika sambutan Aidilfitri.

Sabah sebelum ini mengamalkan sistem zon di mana penduduk di daerah dalam zon yang sama dibenarkan merentas antara daerah.

Masidi, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, sebanyak 20 kompaun dikeluarkan di Sabah dalam tempoh 24 jam lalu, dengan 10 daripadanya membabitkan kesalahan tidak mendapat kebenaran merentas daerah.

Tiga lagi membabitkan kesalahan tidak memakai pelitup muka serta masing-masing satu kerana mengadakan majlis perkahwinan serta tidak mematuhi penjarakan fizikal.

Lima lagi adalah kesalahan gagal menyediakan peralatan rekod diri pelanggan atau gagal menyatakan maklumat kesihatan.

Masidi mengingatkan orang ramai supaya tidak mengadakan majlis sambutan Hari Raya atau rumah terbuka tahun ini.

Kata beliau, pihak berkuasa akan terus memeriksa premis persendirian atau awam bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

SabahNewsToday

Leave a Reply