KOTA KINABALU: Tahap keselamatan negeri ini berada dalam keadaan yang baik serta terkawal.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, beliau melahirkan rasa puas hatinya terhadap prestasi keseluruhan keselamatan di negeri ini.
“Berdasarkan taklimat Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah dan pegawai-pegawainya, saya gembira mendengar tahap keselamatan negeri berada dalam keadaan yang baik dan terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kepayan di sini hari ini.
Antara isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat itu ialah pengembalian semula larangan bot pam di Sabah yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Keselamatan Negeri tahun lepas.
Hajiji meminta polis menyediakan kertas mengenai perkara itu untuk dibentangkan semasa mesyuarat Keselamatan Negeri tahun ini kerana beliau berkata alternatif perlu diberi untuk larangan itu dilaksanakan.
Dalam perkembangan lain, Hajiji juga mengarahkan polis Sabah mempertingkatkan pengawasan menjelang pilihan raya presiden negara jiran, Filipina.
Beliau mahu polis memantau keadaan itu memandangkan isu tuntutan Sabah sentiasa menjadi topik hangat digunakan calon presiden Filipina untuk meraih sokongan pengundi.
“Pilihan raya presiden Filipina yang akan diadakan pada 9 Mei 2022, perlu dipantau rapi oleh polis kita, khususnya Cawangan Khas,” katanya.
Mengenai isu Sabah dijadikan transit pengedaran dadah, Hajiji berharap polis akan terus memantau keadaan itu kerana kemasukan bahan terlarang itu ke negeri itu akan menimbulkan isu sosial yang besar.
Beliau turut mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, yang turut hadir semasa taklimat itu, meneliti permohonan tanah untuk membina pangkalan baharu polis marin di bandaraya ini dan juga pangkalan untuk Pasukan Gerakan Am (PGA) di Nabawan.
“Permohonan mesti diutamakan kerana ini melibatkan keselamatan dan kedaulatan negeri,” katanya.
Mengenai isu lesen senjata api, Hajiji bersetuju supaya kuasa meluluskan lesen diberikan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah sama seperti di Sarawak.
“Saya akan membawa perkara itu kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri,” katanya.