Bukan saya saja, seluruh dunia sebut Najib penjenayah – Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bukan dia seorang sahaja yang menggelar Datuk Seri Najib Razak sebagai penjenayah, malah banyak pihak di seluruh dunia juga melakukan hal yang sama.

Kata Mahathir, seluruh dunia mengenali nama Najib serta jenayah yang dilakukannya, dan perbuatan itu akan dikenang generasi akan datang.

“Saya bukanlah seorang sahaja yang menyebut nama Najib dan kaitannya dengan jenayah. Seluruh negara, bahkan seluruh dunia menyebut nama Najib sebagai penjenayah dalam ucapan, tulisan, buku (termasuk buku adiknya), radio dan televisyen dan lain-lain media.

“Buku sejarah akan catit nama Najib supaya generasi akan datang kenal Najib sebagai penjenayah yang telah curi duit berbilion yang mahkamah telah sahkan.

“Saya akan sebut nama Najib sebagai penjenayah setiap kali yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Mahathir, dia mengulang-ngulang menyebut nama Najib kerana tidak mahu nilai hidup masyarakat rosak.

Ini kerana katanya, bekas presiden Umno itu cuba memadam kaitan namanya dengan jenayah dengan membawa tanggapan bahawa rakyat tidak perlu malu apabila “boss” mencuri – merujuk slogan ‘Malu Apa Bosku’ yang sinonim dengan Najib.

“Jika tidak disangkal akan rosaklah masyarakat. Sebab itu hujah “tak malu” bila mencuri perlu ditolak untuk mengekal nilai asal yang mulia. Adalah mustahil Najib dan jenayah yang dilakukan olehnya tidak disebut.

“Demikian naluri manusia sesuatu itu akan diterima apabila diulangi berkali-kali,” katanya lagi.

Tambah Mahathir, nama pemimpin-pemimpin negara terdahulu dikaitkan dengan perkara baik – seperti Onn Jaafar yang menewaskan rancangan Malayan Union; Tunku Abdul Rahman yang membawa kemerdekaan kepada negara; Tun Razak yang membawa pembangunan.

Namun, malang sekali, kata Mahathir, tidak seperti bapanya, Najib memilih untuk melakukan jenayah dan “melihat kuasa sebagai peluang memperkaya diri”.

Sebelum ini, Najib menyindir Mahathir kerana kembali “meratib” namanya menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor, sebagai petanda dia sudah pulih daripada masalah kesihatan.

Mahathir kemudian mengakui dia malu meratib nama Najib yang terpalit dengan tuduhan penyelewengan wang negara.

Namun kata Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, dia akan terus berbuat demikian bagi memastikan Najib tidak kembali berkuasa.

Mahkamah Rayuan sebelum ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bagaimanapun pelaksaan hukuman itu ditangguhkan sehingga rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Selain itu Najib juga menghadapi pertuduhan dalam kes penyelewengan 1MDB yang kini masih dalam proses perbicaraan.